Abstract:
Pelaburan langsung asing (FDI) adalah salah satu penyumbang yang penting kepada
pertumbuhan sesebuah negara. Kajian ini mengkaji mengenai integrasi ekonomi
serantau, FDI serta faktor-faktor penentunya untuk empat negara ASEAN iaitu Filipina,
Indonesia, Malaysia dan Thailand. Antara pembolehubah yang diambil kira bagi penentu
aliran masuk FDI adalah faktor Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP), jumlah import dua
hala di antara setiap negara kajian serta jarak fizikal antara negara sebagai proksi
kepada kos pengangkutan. Kajian ini menggunakan pendekatan perisian komputer SAS
bagi mengetahui hubungan diantara setiap pembolehubah untuk keempat-empat negara
kajian yang merangkumi data dari tahun 1995 sehingga 2005. Kaedah kajian adalah
berdasarkan pemilihan model yang terbaik melalui nilai R 2 yang tertinggi. Hasil kajian
mendapati model yang dipilih adalah berbeza untuk setiap negara di mana Malaysia
adalah model log manakala bagi Filipina, Indonesia dan Thailand adalah model separa
log. Keputusan kajian juga menyatakan faktor-faktor penentu aliran masuk FDI juga
berbeza untuk setiap negara. Aliran masuk FDI bagi Filipina dan Thailand adalah
dipengaruhi oleh faktor GDP, faktor import pula lebih mempengaruhi aliran masuk FDI
Indonesia dan Thailand dan faktor jarak fizikal banyak mempengaruhi FDI di Indonesia
dan Malaysia. Secara kesimpulannya, integrasi ekonomi serantau adalah penting untuk
negara ASEAN kerana dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi serta kestabilan
ekonomi dalam negara masing-masing.