Abstract:
Tarikan utama Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan adalah sebagai tempat perlindungan
hidupan liar gajah yang kini semakin mengalami kepupusan seiringan dengan kepesatan
pembangunan dan pertambahan populasi penduduk. Berikutan dengan itu, semenjak pusat
perlindungan ini dibuka untuk kunjungan orang ramai telah banyak kemudahan sosial telah
dibangunkan untuk keselesaan pengunjung. Peranan yang dimainkan Pusat Konservasi Gajah
adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat untuk memelihara dan meningkatkan
kualiti sumber alam semulajadi. Sumber alam yang terhad ini penting untuk dilindungi supaya
faedah dan peranan yang sedia ada dapat dinikmati oleh generasi akan datang. Oleh itu,
wujud persoalan utama bagi menentukan nilai bayaran masuk ke Pusat Konservasi Gajah
yang perlu dikenakan kepada pengunjung. Maka, kajian ini dilakukan bertujuan untuk
mengenal pasti nilai kesanggupan membayar bagi bayaran masuk ke Pusat Konservasi Gajah
ini melalui aplikasi Kaedah Penilaian Kontingen. Sebanyak 120 borang soalselidik telah
diedarkan. Hasil keputusan menunjukkan purata kesanggupan membayar untuk satu
kunjungan adalah sebanyak RM 4.38. Nilai tersebut mewakili nilai bayaran masuk bagi
mereka yang berkunjung ke Pusat Konservasi Gajah pada masa hadapan. Kesanggupan
membayar ini adalah dipengaruhi oleh faktor-faktor tertentu sebagaimana yang dibincangkan
di dalam kajian ini. Namun begitu, ketidaksanggupan membayar oleh responden juga diberi
tumpuan pada kajian ini. Keputusan kajian juga memberi implikasi kepada pihak pengurusan
Pusat Konservasi Gajah dalam menilai kesesuaian bayaran masuk bagi setiap kunjungan di
masa akan datang.