Abstract:
Malaysia adalah sebuah negara yang menunjukkan kemajuan dari sektor pertanian
terutamanya dalam pengeluaran kelapa sawit. Malaysia adalah pengeluar dan
pengeksport terbesar kelapa sawit di dunia dan mengetuai negara dalam tempoh
menanam dan memproses kelapa sawit. Pencapaian ekonomi Malaysia juga
dipengaruhi oleh sektor pengeluaran buah sawit di Malaysia. Hal ini demikian kerana,
kelapa sawit adalah sumber pertanian yang paling utama di negara Malaysia. Namun,
isu dan masalah juga sering timbul berkaitan pengeluaran buah sawit di Malaysia iaitu
disebabkan tenaga buruh yang tidak mencukupi, pencemaran dari ladang kelapa sawit,
permintaan dunia yang tidak stabil dan kos pengeluaran yang tinggi. Kajian ini
dilaksanakan bertujuan untuk melihat sejauh manakah hubungan teknologi dan harga
kelapa sawit di Malaysia terhadap - pengeluaran buah sawit di Malaysia. Bagi
membuktikan objektif ini, analisis telah dijalankan dengan menggunakan perisian
Microfit dan dengan menggunakan model log linear serta menggunakan data siri masa
dalam tempoh 31 tahun iaitu dari tahun 1978 hingga 2008. Data yang diperolehi diuji
dengan menggunakan ujian kepegunan Univariate, Multivariate dan Phillip Perron. Ujian
Granger dijalankan untuk melihat hubungan antara pembolehubah dan turut dijalankan
ujian punca unit Augmented Dickey-Fuller. Secara keseluruhan hasil yang diperolehi
daripada kajian ini menunjukkan bahawa teknologi dan harga buah sawit mempengaruhi
pengeluaran buah sawit secara positif. lni bermakna peningkatan bagi teknologi akan
menyebabkan peningkatan pengeluaran buah sawit dan sebaliknya. Begitu juga apabila
harga buah sawit berlaku peningkatan turut menyebabkan pengeluaran buah sawit
meningkat dan sebaliknya.