Abstract:
Globalisasi ekonomi telah menjadi fenomena bagi kebanyakan negara termasuk
negara-negara sedang membangun. Bagi sebahagian negara terutamanya bagi negara
industri maju globalisasi dikatakan mendatangkan keuntungan dan meningkatkan
pertumbuhan ekonomi. Namun, bagi sebahagian besar negara lain terutamanya negara
miskin dan membangun fenomena ini belum mendatangkan manfaat sepenuhnya,
bahkan semakin memburukkan lagi keadaan dengan meningkatkan kemiskinan dan
kadar pengangguran dalam negara. Fenomena dunia tanpa sempadan ini telah
mendominasi perkembangan ekonomi dunia dimana berlaku peningkatan
kebergantungan antara negara khususnya terhadap negara maju. Malaysia turut
mengalami perkembangan pesat dalam perdagangan dan keterbukaan pasaran
antarabangsa menyebabkan pasaran kerja dibuka kepada buruh dari negara lain.
Keterbukaan pasaran kerja ini meningkatkan persaingan kepada buruh tempatan dan
implikasinya bilangan pengangguran mungkin meningkat. Sehubungan itu, kajian ini
dijalankan bagi menganalisis kesan indeks globalisasi terhadap insiden pengangguran
di Malaysia dalam jangka masa panjang iaitu dari tahun 1975 sehingga 2009 dengan
menggunakan data siri masa. Antara kaedah yang digunakan untuk menganggar
pemboleh ubah kajian ini ialah ujian Kepegunan yang mana telah melibatkan ujian
Augmented Dickey-Fuller (ADF) dan Phillip-Perron (PP), ujian Diskriptif, ujian
Kointegrasi Gregory-Hansen, ujian Model Pembetulan Ralat(VECM), dan ujian
Kestabilan. Berdasarkan kepada kajian yang dilakukan dapat dirumuskan bahawa wujud
hubungan kointegrasi antara pemboleh ubah kajian berdasarkan kepada ujian punca
unit. Dengan ini, keputusan kajian menunjukkan wujud hubungan jangka masa panjang
di antara pemboleh ubah kajian tetapi tidak wujud hubungan bagi jangka masa pendek
antara indeks globalisasi dan jumlah pengangguran di Malaysia. Kajian ini merupakan
antara kajian yang terawal mengaitkan globalisasi dan insiden pengangguran secara
langsung.