Abstract:
Kajian ini mengupas tentang hubungan di antara harga komoditi-komoditi utama dengan pertumbuhan ekonomi negara. Harga pasaran komoditi tidak selalu berada pada tingkat yang stabil serta sering kali mengalami kenaikan atau penurunan yang mendadak. Turun naik harga komoditi dilihat memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi sama ada meningkat ataupun sebaliknya kepada negara yang bergantung pada komoditi tersebut. Getah, minyak kelapa sawit dan minyak mentah dipilih sebagai komoditi utama yang memberi kesan kepada ekonomi negara ini. Kajian ini menganalisis hubungan
kedua-dua antara pembolehubah-pembolehubah tidak bersandar dan pembolehubah bersandar setelah menjalani ujian kepegunan data dan ujian kointegrasi dan ujian penyebab Granger. Ujian kointegrasi digunakan bagi mengenalpasti sama ada terdapat hubungan jangka panjang atau jangka pendek di kalangan pembolehubah. Dalam kajian
ini, tidak wujud hubungan jangka panjang tetapi terdapat hubungan jangka pendek yang telah berjaya dikenal pasti. Didapati, terdapat hubungan sehala di kalangan pembolehubah-pembolehubah siri masa selepas menjalani analisis Granger. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa kesan harga komoditi yang terpilih dalam kajian ini terhadap
pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah agak minima.