Abstract:
Banyak kajian lepas telah menunjukkan kepentingan sektor pelancongan yang menyediakan peluang dalam perdagangan serta kemapanan ekonomi sesebuah negara. Pada era 1980an sektor pelancongan Malaysia mula diberi nafas baru dan harapan sehingga mencapai segala kemapanan ekonomi berasaskan pelancongan masa kini. Pihak kerajaan Malaysia telah menjalankan pelbagai program untuk menarik perhatian para pelancong asing bagi meningkatkan pola kehadiran mereka ke Malaysia. Justeru kajian ini dilaksanakan bertujuan untuk memperoleh kesan kemeruapan kehadiran pelancong serta pengaruh kesan bermusim terhadap polarisasi kehadiran pelancongan asing berasaskan benua iaitu benua Afrika, Asian, Amerika, Eropah serta Oceania menggunakan data siri masa sukuan sepanjang tempoh 1995 sehingga 2008. Model empirikal ARIMA(p,d,q)4 dan SARIMA(p,d,q)4 digunakan sebagai model asas dalam kajian ini untuk memperoleh kemeruapan kehadiran pelancong berasaskan benua ke Malaysia. Hasil keputusan kajian menunjukkan wujudnya kesan bermusim bagi pola kehadiran pelancong dari benua
Afrika, Amerika, Eropah dan Oceania. Pola kehadiran pelancong dari benua Asia tidak menampakkan sebarang kesan bermusim ini secara tidak langsung membuktikan 'Malaysia is Truly Asia' dan menjadi destinasi pilihan komuniti Asia.