Abstract:
Institusi zakat memainkan peranan yang sangat besar dalam konteks mewujudkan
keadilan dalam pengagihan semula kekayaan. Prestasi pengurusan kutipan dan agihan
zakat dapat membantu menyumbang kepada transformasi pembangunan semua asnaf. Ia
bertujuan untuk memastikan pengagihan zakat adalah setanding dengan kecekapan dan
pencapaian pengurusan kutipan zakat oleh institusi zakat. Sehubungan itu, objektif kajian
ini ialah mengenalpasti kecekapan pengurusan pusat zakat negeri-negeri di Malaysia.
Objektif khusus dalam kajian ini, pertama menganalisis perkembangan kutipan dan
agihan zakat setiap negeri di Malaysia, kedua mengenalpasti jurang antara kutipan dan
agihan zakat, ketiga mengukur kecekapan teknikal pengurusan kutipan dan agihan zakat.
Bagi mencapai objektif kajian, data diperolehi daripada Unit Zakat (Operasi) Laporan
Pusat Pungutan Zakat/Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi 4 tahun
bermula 2007 hingga 2010. Dapatan kajian menggunakan analisis pengumpulan data
melaporkan negeri yang telah menswastakan institusi zakat seperti negeri Selangor,
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pahang, Pulau Pinang, Melaka dan Negeri
Sembilan kemungkinan dapat meningkatkan kecekapan melalui penswastaan kutipan dan
pengagihan zakat berbanding yang belum menswastakan institusi zakat. Oleh itu,
penswastaan ini dilakukan untuk memastikan pihak pengurusan zakat dapat memberikan
perkhidmatan berkualiti berlandaskan nilai-nilai Islam.