Abstract:
Perdebatan telah lama wujud dalam kalangan ahli ekonomi berhubung kesan
pertumbuhan ekonomi ke atas taraf hidup dan tingkat kesejahteraan penduduk. Ramai
yang berpandangan bahawa pertumbuhan ekonomi yang berlaku tidak semestinya
bermakna kesejahteraan hidup penduduk turut meningkat. Kertas kerja ini menganalisis
tentang hubungan yang wujud di antara indeks kualiti hidup dan pertumbuhan ekonomi
di Malaysia. Selain itu, kertas kerja ini turut, mengkaji komponen yang manakah
memberi kesan yang paling besar pada peratus indeks kualiti hidup secara keseluruhan.
Untuk tujuan ini, ujian korelasi dan analisis regresi mudah dilakukan ke atas enam
komponen sosial dalam indeks kualiti hidup negara dan KDNK perkapita. Hasil analisis
menunjukkan bahawa indeks kualiti hidup negara berhubungan positif dengan
pertumbuhan ekonomi. Manakala empat daripada enam komponen dalam indeks kualiti
hidup negara telah memberikan pengaruh yang besar dalam peratusan IKHM secara
keseluruhannya. Komponen tersebut adalah pendapatan dan pengagihan, kesihatan,
pendidikan dan keselamatan awam.