Abstract:
Kajian ini bertujuan untuk mengkaji dua aspek keseimbangan kerja-keluarga, iaitu
konflik kerja-keluarga dan pengayaan kerja-keluarga yang meramal kesejahteraan
pekerja. Kajian ini juga mengkaji peranan sokongan sosial sebagai moderator dalam
hubungan antara keseimbangan kerja-keluarga dengan kepuasan kerja dan keluarga.
Seramai 260 orang pekerja sektor swasta di Terengganu yang terlibat dalam kajian
ini dipilih secara rawak. Dapatan kajian melaporkan konflik kerja-keluarga dan
pengayaan kerja-keluarga mempunyai hubungan yang signifikan dengan kepuasan
kerja dan keluarga. Analisis regresi menunjukkan pengayaan kerja-keluarga
merupakan faktor peramal kepuasan kerja, manakala konflik keluarga-kerja pula
sebagai peramal kepada kepuasan keluarga. Walau bagaimanapun, dapatan tidak
menyokong peranan sokongan sosial dalam hubungan antara konflik kerja-keluarga
dan pengayaan kerja-keluarga dengan kepuasan kerja dan keluarga. Implikasi kajian
ini menunjukkan bahawa organisasi perlu menitikberatkan strategi pembangunan dan
pelaksanaan yang berkesan bagi keseimbangan kerja-keluarga dalam meningkatkan
kepuasan kerja dan keluarga dalam kalangan pekerja.