Abstract:
Kajian tentang kesan Asid Indola Butirik (IBA) ke atas pengakaran keratan tanaman roselle (Hibiscus sabdariffa L.) telah dibuat di dalam tapak semaian, Universiti Putra Malaysia Terengganu. Keputusan yang didapati menunjukkan terdapat interaksi di antara kepekatan hormon IBA dan jenis keratan yang telah digunakan ke atas peratus pengakaran, bilangan akar dan panjang akar keratan yang terbentuk. Kepekatan IBA 1000 ppm dan 3000 ppm didapati paling sesuai untuk pengakaran keratan roselle jika dibandingkan dengan lain-lain rawatan. Keratan kayu lembut dan keratan kayu separa keras boleh digunakan untuk pembiakan tanaman roselle dengan menggunakan kaedah-keratan batang. Kajian histologi mendapati pembentukan akar primordia dan akar adventitius berlaku di tisu kambium keratan roselle.