Abstract:
Larangan kepada penglibatan riba seperti yang ditegaskan dalam Al-Quran dan
Hadith menjadi tunggak bagi sebarang kegiatan dalam sistem kewangan Islam.
Institusi kewangan Islam telah berkembang dengan amat memberangsangkan sekali.
Namun begitu, hampir kesemua produk yang ditawarkan oleh institusi ini
menggunakan rumus yang diamalkan oleh bank lazim iaitu rumus faedah ringkas,
faedah kompaun, dan anuiti. Amalan menggunakan rumus ini sebagai alat pengiraan
telah menimbulkan keresahan atas sebab rumus itu tercetus daripada model lazim
yang sistem nilainya berbeza dari Islam. Penyelidikan ini bertujuan untuk membina
model matematik yang sesuai dalam pelaburan Islam atas sistem nilai Islam yang
dituntut dalam Al-Quran dan Hadith. Penyelidikan memperbaiki model-model
matematik dalam pelaburan Islam yang pernah dikemukakan oleh penyelidik lain
dan yang diguna pakai oleh bank Islam sekarang. Ia dimantapkan dengan memahami
aliran wang dalam sistem pinjaman yang diuruskan oleh bank Islam dan sistem
pelaburan mudharabah yang mirip kepada akaun simpanan tetap.