Abstract:
Agenda perumahan merupakan agenda terpenting dalam perancangan dan
pembangunan sesebuah negara. Hal ini adalah kerana perumahan memenuhi satu
aspek keperluan asas manusia dan penyediaan unit rumah yang mencukupi dan
selamat disertai infrastruktur asas adalah penting bagi menjamin kesejahteraan fizikal,
psikologikal, ekonomi dan sosial seseorang individu. Malaysia yang kini mengorak
langkah menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020 juga memberikan fokus
khas kepada sektor perumahan bagi meningkatkan lagi kualiti hidup masyarakat
domestik. Sebanyak RM 7 bilion telah diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan
sektor perumahan di dalam Rancangan Malaysia Kelapan (2001-2005) dan RM 11.5
bilion di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (2006-2010). Kajian ini amat penting
untuk mengkaji ketidakseimbangan yang sedang berlaku di dalam pasaran perumahan
negara. Kajian yang dijalankan adalah mengenai kewujudan maklumat tidak simetri di
dalam pasaran perumahan negara menerusi persepsi pengguna khususnya. Objektif
utama kajian ialah untuk mengenalpasti apakah jenis maklumat tidak simetri yang wujud
beserta faktor-faktor yang mempengaruhinya di sepanjang proses transaksi jual beli
sesebuah unit rumah yang melibatkan pihak pemaju perumahan dan pihak pengguna
selaku pembeli unit kediaman. Sebagaimana menurut Bajet 2008 yang baru-baru ini
dibentangkan, sektor perumahan adalah sektor ekonomi negara yang masih berlarutan
masalahnya. Antara masalah yang kerap menimpa para pembeli rumah dan sering
diadukan kepada pihak Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan pihak
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ialah berkenaan rumah
terbengkalai, ketidaksempurnaan struktur dan kualiti rumah yang baru diduduki, faedah
pinjaman bank yang melambung tinggi, sikap pemaju yang lepas tangan dan
sebagainya. Walaubagaimanapun, permintaan terhadap perumahan semakin hari
semakin meningkat walaupun terdapat rungutan atau keluhan mengenainya. Untuk
menyelesaikannya, pihak kerajaan dan swasta bergiat aktif dalam mempromosi rumah
yang mampu dimiliki atau disewa dan berkualiti untuk diduduki. Kaedah penyelesaian
untuk mengenalpasti kewujudan maklumat tidak simetri yang digunakan adalah
menerusi kajian seal selidik terhadap sampel kajian di seluruh Malaysia yang
mempunyai pengalaman dalam membeli rumah.