Abstract:
Penurunan dalam kualiti Taman Negara Pulau Pinang (TNPP) berlaku kerana masalah
kegagalan pasaran global. Pada kebiasaannya, pasaran hanya mengambil kira permintaan
terhadap produk hutan tetapi ia gagal mengambil kira permintaan bagi pemeliharaan dan
pemuliharaannya. Bagi memastikan pilihan pengagihan sumber diagihkan secara cekap,
pembuat keputusan memerlukan satu rangka kerja untuk menganggar nilai bukan gunaan bagi
pemeliharaan TNPP ini. Penilaian individu terhadap ciri utama yang menjadi pilihan
masyarakat untuk pemeliharaan TNPP ini perlu dijalankan. Tetapi agak sukar untuk
menentukan ciri yang diutamakan oleh masyarakat kerana ia adalah barang bukan pasaran.
Barang bukan pasaran seperti TNPP ini mempunyai faedah atau nilai yang tersendiri tetapi
nilainya adalah nilai yang tidak nampak. Teknik penilaian bukan pasaran 'Contingent
Valuation Method' (CVM) boleh digunakan tetapi ia masih mempunyai batasan untuk
diaplikasikan. Oleh itu, muncul satu kaedah iaitu 'Choice Modelling' (CM) yang sesuai bagi
situasi yang kompleks dan ianya konsisten dengan kehidupan yang sebenar. Dalam kajian ini,
eksperimen CM adalah untuk menganggar nilai bagi setiap atribut dalam pemeliharaan TNPP
dan kesanggupan membayar komuniti. Secara puratanya, masyarakat sanggup membayar dan
atribut yang menjadi keutamaan masyarakat ialah nilai rekreasi serta pemeliharaan flora dan
fauna.