Abstract:
Berdasarkan konsep pencen, sistem pemprosesan pencen dan pengurusannya mestilah
berkesan supaya amalan pembayaran pencen dapat dibuat tanpa apa-apa
penangguhan. Oleh itu, segala masalah berkaitan dengan pengurusan dan
pemprosesan pencen perlulah diperbaiki dengan berlandaskan kepada tujuan pencen
ini. Bagaimanapun pelaksanaan atau pembayaran pencen memerlukan penilaian
kerana pada masa kini ia dikatakan membebankan kos perbelanjaan kerajaan. Oleh itu
kajian ini dilakukan untuk mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhi beban
kos perbelanjaan pencen kerajaan, kesan perubahan sistem saraan ke atas
perbelanjaan pencen kerajaan dan mengenal pasti hubungan antara kos perbelanjaan
pencen kerajaan dengan bilangan populasi dan bilangan kakitangan kerajaan dalam
jangka panjang. Untuk tujuan ini, data siri masa dari tahun 1980 hingga tahun 2005
bagi kos perbelanjaan pencen kerajaan sebagai pemboleh ubah bersandar dan bilangan
populasi serta bilangan kakitangan kerajaan sebagai pemboleh ubah bebas di lakukan
pengujian. Antara kaedah yang digunakan dalam kajian ini ialah ujian kepegunan,
ujian ko-integrasi Johansen dan model Vektor Autoregrasi (VAR) bagi melihat
kewujudan hubungan jangka panjang antara pemboleh ubah. Hasil kajian mendapati
bahawa data pemboleh ubah adalah pegun dan wujudnya hubungan jangka panjang
antara kos perbelanjaan pencen dengan pemboleh ubah-pemboleh ubah bebas bagi
pengujian model Vektor Autoregresi .Oleh itu, sebarang perubahan dalam polisi yang
berkaitan pengurusan pencen perlulah mengambil kira faktor jangka masa panjang.
Beberapa cadangan telah dikemukakan berdasarkan hasil kajian yang diperoleh dalam
kajian ini bagi penambahbaikan sistem persaraan negara.