Abstract:
Secara keseluruhan kajian ini adalah untuk menilai pengaruh pelaburan langsung
asing dalam mencorakkan pola pengangguran Malaysia. Secara khususnya pula,
kajian ini adalah untuk menganalisis integrasi antara pelaburan langsung asing dan
tren pengangguran Malaysia. Bagi memperoleh keputusan yang menyeluruh, kajian
ini menggunakan Model Vektor-Autoregresif (VAR) bagi melihat kesan jangka
panjang mobiliti pelaburan asing terhadap insiden pengangguran di Malaysia serta
analisis secara regresi juga digunakan dalam membuktikan kajian ini secara
empirikal. Hubungan antara kadar pengangguran dengan pelaburan langsung asing
akan dilihat berasaskan kajian empirikal dengan menggunakan data siri masa bagi
tempoh 1975-2006. Keputusan kajian ini membuktikan bahawa mobiliti pelaburan
asing secara tidak langsung telah menunjukkan kewujudan pengangguran di mana
kemasukan teknologi yang menyebabkan permintaan untuk tenaga buruh
berkurangan. Selain daripada itu, AFT A memberi kesan yang positif kepada kadar
pengangguran di dalam negara. Jadi, dasar harus digubal bagi mengimbangi mobiliti
pelaburan asing yang mampu mencipta peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia dalam
pelbagai sektor ekonomi pada masa akan datang.