| dc.description.abstract |
Sarawak merupakan sebuah negeri yang popular dengan budaya dan warisan
sejarah serta industri ekopelancongannya. Terdapat pelbagai produk pelancongan di
Sarawak dan salah satu tarikan utama yang mempunyai keunikan alam tersendiri
ialah Taman Negara Sako. Lazimnya, jumlah permintaan pelancong tempatan dan
luar negara terhadap sesuatu produk pelancongan adalah tidak menentu dan ini turut
berlaku dalam permintaan pelancongan di Taman Negara Sako. Selain itu, latar
belakang setiap pelancong pula adalah berbeza antara satu sama lain berdasarkan
kepada negara asal pelancong. Manakala, terdapat pelbagai faktor yang
mempengaruhi kedatangan pelancong ke sesebuah tempat pelancongan. Oleh itu,
kajian ini dilakukan bertujuan untuk menganalisis perbandingan di antara pelancong
tempatan dan luar negara di Taman Negara Sako, Sarawak berdasarkan kepada
beberapa objektif khusus kajian ini. Antara tujuan khusus kajian ini adalah
menganalisis faktor demografi pelancong dan trek-trek yang kerap dikunjungi.
Perbandingan di antara pelancong tempatan dan luar negara turut di kaji dan akhir
sekali faktor-faktor yang menggalakkan kedatangan pelancong ke taman negara
tersebut dikenal pasti. Untuk mencapai tujuan tersebut, seramai 100 responden yang
terdiri daripada pelancong taman negara tersebut telah disoal selidik. Manakala data
jumlah kedatangan pelancong pula diperoleh daripada Visitors Information Centre,
Kuching. Hasil daripada soal selidik, demografi para pelancong dan juga trek-trek
yang menjadi tumpuan utama para pelancong dapat diketahui. Perbandingan di
antara pelancong tempatan dan luar negara juga menunjukkan tren yang hampir
sama walaupun jumlah kedatangan bagi kedua-duanya adalah berbeza dengan
ketara. Akhir sekali, didapati bahawa terdapat dua faktor penting yang menjadi
penentu kepada tujuan kedatangan pelancong ke Taman Negara Sako iaitu kualiti
produk pelancongan dan juga keselesaan kemudahan yang disediakan oleh taman
negara tersebut. |
en_US |