Abstract:
Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini iaitu sepanjang tempoh Rancangan
Malaysia ke Lapan (RMKB), sektor insurans dilihat telah mencapai pertumbuhan yang
memberangsangkan sejajar dengan pertumbuhan dalam sektor kewangan. Dalam
tempoh ini, industri insurans dilihat memainkan peranan yang penting dalam
pertumbuhan ekonomi Negara. Kajian ini bertujuan untuk mengkaji potensi sektor
insurans dalam memacu pertumbuhan ekonomi Negara dengan mengaplikasikan
kaedah analisis input output menggunakan Jadual Input Output Malaysia (2000). Melalui
kaedah ini, analisa dapat dilakukan untuk mengenal pasti hubungan di antara sektor
produktif dalam ekonomi terutama bagi sektor insurans sama ada melalui hubungan ke
depan atau ke belakang serta dapat mengenal pasti rantaian ekonomi antara sektor
khususnya bagi sektor insurans menggunakan analisis pengganda pendapatan. Dalam
tempoh RMK 9, industri insurans dijangka mempunyai peluang yang besar untuk
berkembang hasil daripada pembangunan demografi dari segi pertambahan golongan
meningkat usia berserta dengan peningkatan kekayaan dan kesedaran yang semakin
tinggi terhadap keperluan dan faedah insurans. Hasil dapatan kajian yang diperoleh,
menunjukkan sektor insurans terbukti menjadi pemangkin kepada pertumbuhan dalam
aktiviti oleh sektor lain terutama kepada sektor yang berisiko tinggi seperti
perlombongan, perkhidmatan pengangkutan, pelancongan, pembuatan berat dan
sebagainya. Selain itu, produktiviti yang tinggi dalam pertumbuhan sektor insurans
didapati akan memberikan impak positif terhadap aktiviti ekonomi di Malaysia
berdasarkan kekuatan hubungannya dengan output sektor lain dan jumlah pendapatan
yang mampu dijananya secara keseluruhan.