Abstract:
Sektor pembuatan di Malaysia merupakan antara penyumbang terbesar kepada
pertumbuhan KDNK Negara pada masa kini. Sumbangan pertumbuhan TFP adalah
penting dalam sektor pembuatan di negara ini kerana ia mampu membolehkan
sektor ini terus bersaing di pasaran global. Kemajuan teknologi adalah faktor penting
dalam membolehkan sektor pembuatan negara terus aktif bersaing secara kompetitif
bagi memperkukuhkan lagi prestasi sektor ini. Kajian ini bertujuan untuk menganggar
pertumbuhan produktiviti faktor menyeluruh (TFPG) dalam sektor pembuatan di
Malaysia untuk tempoh masa kajian dari tahun 1981 sehingga 2004. Bagi mencapai
objektif kajian ini, teknik pengeluaran translog melalui kaedah analisis pengeluaran
pembatasan stokastik dengan menggunakan program FRONTIER versi 4.1 telah
digunakan. Penggunaan pendekatan ini mampu menguraikan komponen TFPG
kepada kemajuan teknikal (TP), dan perubahan tingkat kecekapan (TEC). Hasil
kajian terhadap TFPG sektor pembuatan di Malaysia mendapati peningkatan dalam
pertumbuhan TFP adalah didorong oleh sumbangan dalam kemajuan teknikal (TP)
yang memberangsangkan dan pertumbuhan TFP tertinggi dicatatkan pada tahun
1998 walaupun negara menghadapi krisis kewangan pada tahun sebelumnya, 1997.