Abstract:
Hutan Lipur Lata Belatan (LB) adalah salah satu produk pelancongan alam
semulajadi Terengganu yang boleh dikunjungi pelancong dari segenap pelosok
dunia kerana pelbagai khazanah alam seperti pepohon akar kayu dan kejernihan air
terjun itu sendiri yang masih dipelihara dan dipulihara. Hutan Lipur LB ini
dibangunkan secara berperingkat-peringkat dari tahun 1985. Sehingga kini, ia
mampu menjadi air terjun yang terkenal di Terengganu. Tetapi hanya 50 hektar
daripada 403 hektar yang dibangunkan untuk tujuan rekreasi. Kawasan selebihnya
dikekalkan bertujuan untuk memelihara pokok-pokok yang mempunyai nilai komersil.
Namun pada hari ini Hutan Lipur LB merupakan sebuah hutan lipur di Negeri
Terengganu yang mendapat perhatian daripada pengunjung. lni dapat dibuktikan
melalui peningkatan jumlah pengunjung yang mengunjungi Hutan Lipur LB dari tahun
ke tahun. Namun ekoran daripada peningkatan pengunjung yang datang untuk
tujuan rekreasi menyebabkan pencemaran dan kerosakan hutan lipur ini. Antaranya
ialah sikap pengunjung terutamanya golongan remaja yang melakukan kegiatan
vandalisme seperti merosakkan pokok-pokok yang berharga, membuang sampah
merata-rata, merosakkan bangku dan pondok yang dibina untuk kemudahan orang
ramai serta menconteng perkataan yang tidak senonoh. Selain itu, sikap pengunjung
yang tidak mengambil berat tentang kebersihan alam sekitar juga menyebabkan
pencemaran kepada Hutan Lipur LB. Hutan lipur ini mempunyai nilai ekonomi yang
tinggi. Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab iaitu Jabatan Perhutanan Negeri
Terengganu dan Pihak Pengurusan Hutan Lipur LB mestilah menyemai sikap
menyayangi alam sekitar dan menerapkan budaya yang sihat kepada pengunjung
supaya masyarakat membuka mata terhadap kepentingan pemeliharaan hutan lipur.
Tujuan utama kajian ini dilakukan adalah untuk menilai kebarangkalian kesanggupan
membayar masyarakat (WTP) terhadap program pemeliharaan Hutan Lipur LB
melalui Kaedah Penilaian Kontingen (CVM) supaya dapat mengekalkan keindahan
dan keunikan khazanah alam ini. CVM digunakan bertujuan untuk menilai
kebarangkalian kesanggupan membayar masyarakat berdasarkan pendapatan
responden, umur responden dan WTP responden. Hasil kajian membuktikan bahawa
tidak wujud hubungan yang signifikan di antara kebarangkalian kesanggupan
membayar dengan pendapatan, umur dan WTP responden. Selain itu, kertas kerja
ini juga turut mengupas pengurusan kawasan oleh Pihak Pengurusan Hutan Lipur LB
yang berpotensi tinggi untuk dibangunkan sebagai kawasan rekreasi terkenal dan
mencadangkan langkah-langkah yang sesuai kepada organisasi supaya boleh
melaksanakan polisi yang baik supaya membantu membuat perancangan hutan lipur
yang baik seterusnya dapat meningkatkan jumlah pengunjung pada tahun-tahun
akan datang.