Abstract:
Produktiviti memainkan peranan yang amat penting dalam usaha negara
membangunkan modal insan yang berkualiti dan berdaya saing dalam pasaran dunia
global. Perkembangan produktiviti negara dapat dilihat melalui kecekapan dalam
penggunaan modal, pembangunan sumber manusia dan kemajuan teknologi yang
digunakan dalam proses pengeluaran iaitu daripada 2.46 peratus pada tahun 2002
meningkat kepada 3.42 peratus pada tahun 2004. Manakala dalam sektor pembuatan,
pertumbuhan produktiviti adalah pada tahap yang amat memberangsangkan melalui
pengukuran nilai ditambah daripada RM 74 050 juta pada tahun 2003 meningkat kepada
RM 81 167 juta pada tahun 2004. Sehubungan itu, kajian ini bertujuan untuk
menganalisis hubungan pertumbuhan produktiviti di Malaysia khususnya bagi sektor
pembuatan elektrik dan elektronik dengan tahap pendidikan, mengenalpasti faktor-faktor
lain yang mempengaruhi peningkatan produktiviti dan membuat perbandingan adakah
buruh berpendidikan tinggi lebih produktif berbanding buruh yang tidak berpendidikan
tinggi. Bagi mencapai objektif tersebut, borang soal selidik telah diedarkan kepada 126
orang responden yang bekerja di sektor perkilangan elektrik dan elektronik di kawasan
perindustrian di lpoh Perak. Kaedah Analisis Regresi Linear digunakan untuk
mendapatkan keputusan akhir yang dapat menjawab objektif kajian yang sebenar.
Penemuan kajian menunjukkan tahap pendidikan merupakan faktor penting dalam
peningkatan tingkat produktiviti buruh dan terdapat faktor lain yang turut mampu
mempengaruhi pertumbuhan produktiviti seperti pemberian latihan, kadar upah, tingkat
kepuasan dan penghargaan. Hasil dapatan juga membuktikan bahawa buruh yang
berpendidikan tinggi adalah lebih berproduktiviti berbanding buruh yang tidak
berpendidikan tinggi. Sehubungan itu, kerajaan dicadangkan agar mempertingkatkan
lagi Sistem pendidikan dan latihan sama ada di peringkat asas mahupun di peringkat
profesional agar berada pada tahap yang lebih baik untuk membantu melahirkan modal
insan yang berpengetahuan tinggi.