Abstract:
Kajian ini adalah untuk membuat analisis perbandingan taraf sosioekonomi di antara
dua kawasan yang mempunyai kemudahan teknologi digital dengan kawasan yang tidak
mempunyai kemudahan teknologi digital. Berdasarkan kajian lepas yang dijalankan oleh
Niles dan Hanson (2003), mendapati bahawa kawasan yang berbeza-beza dari segi
kemudahan digital adalah faktor utama yang menyukarkan perolehan capaian dan
penggunaan teknologi maklumat. Manakala kajian oleh e-Bario (1990) pula, mendapati
bahawa "tele centre" komuniti mampu meningkatkan kehidupan marginal kumpulan
komuniti kecil dan pedalaman di Sarawak. Fan dan Xiaobo (2004) pula, menyatakan
infrastruktur pedalaman dan pendidikan memainkan peranan yang penting dalam
menerangkan perbezaan produktiviti pedalaman bukan pertanian berbanding produktiviti
pertanian. Kaedah yang digunakan dalam kajian ini ialah kaedah persamaan sistem iaitu
"Seemingly Unrelated Regression" bagi mengenalpasti hubungan pembolehubah bebas
dengan pembolehubah bersandar di kawasan yang berlainan. Hasil kajian membuktikan
bahawa wujudnya kesan yang positif antara pembolehubah bebas dan bersandar akibat
daripada pembangunan digital yang dijalankan. Responden yang berada di kawasan
yang mempunyai pembangunan digital mempunyai taraf hidup yang lebih baik
berbanding responden di kawasan yang tidak mempunyai pembangunan digital. Hal ini,
dapat ditunjukkan oleh perbezaan taraf pendidikan isi rumah dan pendapatan responden
di kedua-dua kawasan kajian. Oleh itu, kajian ini mencadangkan beberapa strategi untuk
digunakan oleh penggubal dasar bagi merangka pelbagai dasar serta program bagi
mencapai matlamat untuk meningkatkan kadar celik IT.