Abstract:
Banjir merupakan suatu fenomena dan bencana alam yang boleh mendatangkan impak
negatif kepada ekonomi dan sosial masyarakat. Menurut kajian oleh Pertubuhan
Meteorologi Sedunia (WMO), banjir merupakan bencana alam yang ketiga terbesar yang
telah menyebabkan kerugian dan kemusnahan harta benda. Pada akhir tahun 2006 dan
awal tahun 2007 iaitu bermula dari 19 Disember 2006 sehingga 16 Januari 2007, banjir
besar telah melanda Negeri Johor di mana hampir keseluruhan daerah di Negeri Johor
telah dilanda banjir. Kota Tinggi adalah di antara daerah yang paling teruk terjejas dan
merupakan banjir yang paling besar dan terburuk dalam sejarahnya. Akibat daripada
banjir tersebut, penduduk di Kota Tinggi telah mengalami kerugian yang besar akibat
kemusnahan harta benda, infrastruktur dan telah mengakibatkan daerah Kota Tinggi
terputus hubungan dengan daerah-daerah lain di Negeri Johor serta membantutkan
pembangunan dan pertumbuhan ekonomi di Kota Tinggi. Justeru itu kajian ini dijalankan
bertujuan untuk melihat sejauh manakah bencana banjir memberi impak kepada
pembangunan ekonomi di Daerah Kota Tinggi. Kajian ini menggunakan model regrasi
berbilang dan pengujian statistik untuk menguji hubungan di antara pemboleh ubah bebas
dan pembolehubah bersandar yang telah dipilih. Keputusan hasil kajian membuktikan
bahawa bencana banjir yang telah melanda Daerah Kota Tinggi telah menjejaskan
pembangunan ekonomi dan telah menjejaskan sosio ekonomi penduduk di daerah
tersebut.