Abstract:
Secara umumnya kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti sejauh manakah indeks
globalisasi akan mempengaruhi trend kemeruapan aliran masuk pelaburan asing
langsung di Malaysia. Secara khususnya pula kajian ini adalah untuk mengukur tahap
integrasi jangka masa panjang dan pendek di antara indeks globalisasi dan aliran
masuk pelaburan asing langsung. Tambahan pula kajian ini menganalisis
penyelarasan yang berlaku dalam jangka masa pendek dalam mencapai keseimbangan
jangka masa panjang kesan daripada kejutan yang berlaku dalam globalisasi dan
pelaburan asing langsung. Kajian ini akan mengkaji tentang kesan pertumbuhan
indeks globalisasi terhadap trend turun naik FDI di Malaysia menggunakan data siri
masa sebanyak 30 tahun iaitu dari tahun 1980-2009. Justeru itu, kajian ini
mengaplikasikan pendekatan ujian ko-integrasi Gregory-Hansen untuk melihat
hubungan jangka panjang pemboleh ubah kajian ini dan Pendekatan Model
Pembetulan Ralat (VECM) digunakan dalam kajian ini sebagai ujian integrasi jangka
pendek untuk melihat hubungan jangka pendek di antara pemboleh ubah kajian.
Selain itu, data diuji dengan menggunakan ujian Sebab-Akibat Granger yang
bertujuan untuk melihat hubungan sebenar antara pemboleh ubah kajian kerana
korelasi sesama pemboleh ubah tidak mampu melihat hubungan sebenar antara
pemboleh ubah kajian.